Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan, berkenan berangkat menziarahi jenazah Allahyarham Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama (Dr.) Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin, mantan Menteri Hal Ehwal Ugama, di kediaman Allahyarham di Jalan Pasir Berakas.
Sejurus keberangkatan tiba, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyertai Sembahyang Jenazah yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.
Selepas Sembahyang Jenazah di kediaman Allahyarham, jenazah Allahyarham disembahyangkan lagi di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, sebelum disemadikan.
Allahyarham Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama (Dr.) Ustaz Haji Awang Mohd. Zain lahir pada 30 Ogos 1936 di Kampung Lorong Sikuna, Bandar Brunei (Bandar Seri Begawan).
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan Brunei, Allahyarham kemudian melanjutkan pembelajaran di Sekolah Arab Aljunied, Republik Singapura pada 1950 dan Kolej Islam Kelang, Selangor pada 1956.
Selepas itu, Allahyarham menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir (1959 hingga 1963) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Undang-undang Islam.
Pada 1978, Allahyarham telah dianugerahkan Doktor Kehormat dalam bidang agama Islam dari Universiti Islam Syarif Hidayatullah Jakarta, Republik Indonesia, dan telah dianugerahkan Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Brunei Darussalam pada 18 September 1999.
Allahyarham mula berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai Timbalan Kadi Besar pada 11 Disember 1963, dan kemudian dinaikkan ke beberapa pangkat jawatan seperti Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Ugama, Brunei (1 Februari 1965); Kadi Besar (1 Oktober 1967); Pengetua Pegawai Hal Ehwal Ugama, Brunei (1 November 1970) dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam (21 Oktober 1986 hingga 2010).
Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Allahyarham telah disampiri gelaran Manteri 16 iaitu, 'Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Wangsa' pada 30 Januari 1968.
Setelah itu, Allahyarham dinaikkan pangkat gelaran Manteri 8, iaitu menjadi 'Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Ratna Diraja' pada 15 Julai 1969 dan seterusnya dinaikkan pangkat gelaran Manteri 4, iaitu 'Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja' pada 26 Ogos 1992.
Selain itu juga, Allahyarham telah dikurniakan dengan beberapa Bintang-bintang Kebesaran dan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam.
Allahyarham mula berkarya dalam penulisan pada 1950, dan kebanyakan hasil-hasil penulisan Allahyarham diterbitkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Di samping itu, hasil-hasil penulisan Allahyarham juga diterbitkan oleh penerbit dan pencetak dari luar negara.
Di atas sumbangan besar dalam bidang penulisan, Allahyarham telah dianugerahkan dengan Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) di Bangkok, Thailand pada 1991; Anugerah Belia Berjasa pada 2006, Anugerah Penulisan Islam (API) pada 2011, dan Anugerah Sastera Mastera pada 2011.
Antara kewajipan dalam gelaran Allahyarham termasuk bertanggungjawab memerhatikan hal ehwal kesempurnaan kelengkapan istiadat di luar, bertanggungjawab mengawasi, mengatur dan menentukan hal ehwal istiadat yang dijalankan di dalam atau di luar istana seperti Istiadat Perangkatan Diraja dan sebagainya; bertanggungjawab memerhatikan dan menyelidik perkara-perkara yang berkenaan dengan hal ehwal perjalanan dan perkembangan Istiadat Diraja dalam dan luar istana termasuk memperelokkannya untuk memelihara nama baik negara sama ada di dalam atau di luar negara yang akan disembahkan kepada Pengiran Pemancha, dan bertanggungjawab mengadakan penyelidikan dan pengkajian mengenai dengan masalah yang terkandung di dalam adat Istiadat Diraja untuk disembahmaklumkan kepada Sultan.
Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada Ahad, 5 Zulhijah 1446 Hijrah bersamaan 1 Jun 2025, jam 9.26 malam di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), ketika berusia 88 tahun.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto